Pengarah Urusan Girls In Tech Malaysia, Nadira Mohd. Yusoff berkata, I4H merupakan program di bawah Tahun Promosi Syarikat Permulaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SSPY) 2017 dan disokong oleh Kementerian Kewangan serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (Ma­GIC).

Beliau berkata, peserta program perlu mengemukakan idea atau model perniagaan mampan untuk dinilai oleh syarikat-syarikat korporat dan pihak Girls In Tech supaya ia relevan apabila memasuki pasaran kelak.

“I4H bertujuan untuk membantu masyarakat global yang menghadapi krisis dan masalah kehidupan seperti yang digariskan dalam Matlamat Pembangu­nan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kelainan dalam program ini adalah kita dapat melahirkan usahawan dalam bidang teknologi dan mempunyai kesinambungan dana pada masa hadapan.

“Peserta boleh membentuk kerjasama dengan syarikat-syarikat korporat sama ada melalui perkongsian, usaha sama dan pengambilalihan bagi mengembangkan lagi model perniagaan mereka. Setakat ini 15 syarikat korporat sudah mengesahkan penyertaan antaranya UEM Edgenta, Yayasan CIMB, Axiata, Microsoft dan Yayasan Maybank,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Nadira, Girls In Tech telah mengadakan siri jelajah kampus pada bulan lalu dan beberapa universiti menunjukkan minat dengan menghantar penyer­taan untuk menyertai I4H.

Menurut beliau, penyertaan I4H telah dibuka pada awal bulan ini sehingga 21 Ogos kepada orang ramai yang mempunyai idea krea­tif dan model perniagaan yang baik.

Katanya, setiap permohonan yang diterima akan dinilai oleh panel-panel yang berwibawa dan peserta yang terpilih bakal menjalani program pemangkin selama tiga bulan.

“Sepanjang tempoh tersebut peserta diberi bimbingan dan latihan dalam merealisasikan pembangunan idea-idea mereka. Peserta wajib mempunyai prototaip kerana produk mereka akan dilancarkan pada Disember nanti.

“Saya berharap semasa peringkat pelancaran produk, mereka mampu untuk mengenal pasti sekurang-kurangnya sejuta pe­langgan berpotensi. Para peserta mesti mengetahui dengan jelas strategi perniagaan agar mereka dapat menjana perolehan secukup­nya pada masa depan,” jelasnya.